Taman perumahan jadi pusat simpanan kenderaan berat

Kawasan lapang di tanah itu kini menjadi pusat simpanan kenderaan berat di Taman Seri Selendang, Batu Berendam.
Kawasan lapang di tanah itu kini menjadi pusat simpanan kenderaan berat di Taman Seri Selendang, Batu Berendam.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Taman Seri Selendang dan Taman Seri Songket di Batu Berendam di sini menjadi lokasi parkir kenderaan berat mengakibatkan penduduk diganggu pencemaran bunyi dan asap kenderaan itu sejak dua tahun lalu.

Tanah lapang yang didakwa milik Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Jalan SS2 menjadi pusat simpanan kenderaan berat sejak Oktober 2018.

Pesara guru, Chong Geok Chuay, 58, berkata, ketika membeli rumah di taman tersebut lebih lapan tahun lalu tiada sebarang projek atau pembinaan di atas tanah seluas kira-kira 0.6 hektar itu.

"Bagaimanapun, kawasan lapang yang hanya beberapa meter dari kediaman kami dan dipenuhi rumput hijau itu sekarang menjadi tempat parkir kenderaan dan jentera berat.

"Pemasangan penghadang zink turut menambah masalah lalu lintas kepada pemandu yang keluar dan masuk simpang sehingga pernah berlaku kemalangan," katanya.

Chong Geok Chuay
Chong Geok Chuay

Menurutnya, bunyi bising kenderaan berat yang beroperasi serta mengeluarkan asap diesel menyebabkan penduduk tidak boleh membuka pintu rumah dan berkurung sepanjang hari.

Bagi M Letchumanan, 57, penduduk bukan sahaja berdepan pencemaran serta risiko penyakit akibat pencemaran asap malah kawasan itu juga kerap berlaku kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, masalah yang diadukan kepada wakil rakyat sejak setahun lalu sehingga kini belum menemui jalan penyelesaian.

"Lebih membimbangkan apabila ada pusat kenderaan berat ditempatkan di kawasan yang mempunyai dua buah sekolah.

"Kita harap pusat ini dapat dipindahkan ke tempat lain kerana tidak sesuai berada dalam kawasan taman perumahan," katanya.

M Letchumanan
M Letchumanan

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman ketika ditemui menjelaskan semakan mendapati pusat simpanan kenderaan berat itu beroperasi secara haram dan disewa daripada pemilik tanpa mempunyai lesen yang sah.

Menurutnya, MPHTJ telah mengambil tindakan serta-merta menghentikan operasi premis di bawah Undang-Undang Kecil (Mengkompaun Kesalahan-kesalahan) (MPHTJ) Kerajaan Tempatan 2010.

Katanya, tanah lapang itu sebenarnya bukanlah tapak medan selera seperti didakwa penduduk sebaliknya milik persendirian dan pihaknya tidak boleh mengambil tindakan melulu sebaliknya perlu mematuhi beberapa prosedur mengikut perundangan.

"Semakan yang kita lakukan mendapati syarikat berkenaan tidak memiliki lesen premis di kawasan itu untuk menjalankan perniagaan.

"Kami akan mengambil tindakan segera supaya syarikat itu menghentikan perniagaan mereka serta merta atau kita akan mengeluarkan kompaun," katanya.

Penduduk melihat aduan yang pernah dipanjangkan kepada pihak berkenaan, namun belum menemui jalan penyelesaian
Penduduk melihat aduan yang pernah dipanjangkan kepada pihak berkenaan, namun belum menemui jalan penyelesaian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!