Tiada individu gelang pink ditahan di Kota Setar
ALOR SETAR - Polis mendapati masih ada penduduk yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor berkata, bagaimanapun tiada individu yang memakai gelang merah jambu ditahan di sekitar bandar raya itu kerana melanggar arahan kuarantin.
"Mereka masih terikut-ikut dengan gaya hidup lama walaupun negara kini perlu mengamalkan normal baharu," katanya ketika diminta mengulas sama ada polis ada menahan atau mengambil tindakan terhadap individu memakai gelang merah jambu di daerah Alor Setar.
Beliau sebelum itu menghadiri Program Agihan Asyura bersama Rela Kehormat Melayu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yayasan Cegah Jenayah Kedah (MCPF) dan Bank Rakyat Jitra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk terus mematuhi sebarang SOP yang ditetapkan.
"Ada penduduk yang bersikap acuh tak acuh mengamalkan penjarakan fizikal tetapi memarahi pihak berkuasa jika dikenakan kompaun
"Jadi, tolong amalkan SOP supaya semua dalam keadaan harmoni," katanya.
Dalam perkembangan lain katanya, pihaknya menyambut baik program seperti agihan bubur asyura yang dapat mengeratkan silaturahim antara polis dan pelbagai agensi seperti MCPF dan Rela.
Sementara itu, Pengerusi MCPF Kota Setar, Dr Zaki Zamani Abd Rashid berkata, sebanyak 350 bungkusan bubur asyura diedarkan kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal di hadapan IPD Kota Setar di sini.
Katanya, pelbagai pihak bergotong-royong memasak bubur asyura seawal jam 6 pagi sebelum diagihkan kepada penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!