Polis siasat empat beradik disyaki cemar Sungai Gong
GOMBAK - Polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci ke atas empat beradik yang disyaki menjadi punca pencemaran air dan bau di Sungai Gong, RawangKetua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, keempat-empat individu berusia antara 50 hingga 60 tahun itu disyaki pemilik sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera.
"Siasatan yang bakal dijalankan turut merangkumi laporan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Air Selangor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Noor Azam berkata, segala laporan siasatan adalah penting sebelum ia dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.
"Siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berharap supaya semua pihak memberi ruang kepada polis Selangor menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat beradik cemar Sungai Gong direman
Noor Azam memaklumkan tiga daripada empat beradik terbabit ditahan di rumah mereka di Selayang sekitar jam 11 malam hingga 12.30 tengah malam.
"Seorang lagi datang bersama peguamnya untuk menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, awal pagi tadi," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.
Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang, membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak kelmarin selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: 1,292 kawasan di Lembah Klang alami gangguan bekalan air
Kilang punca pencemaran Sungai Gong sudah disita
Pencemaran Sungai Gong: Pas Selangor desak kilang diroboh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!