Budak cedera diserang dua ekor anjing
ALOR GAJAH - Seorang murid Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Selandar terpaksa menahan kesakitan selepas cedera diserang dua ekor anjing liar di Taman Kenari, Durian Tunggal, di sini malam tadi.
Ketika kejadian kira-kira jam 11.15 malam, Muhammad Irfan Danish, 12, yang turun dari kenderaan untuk membuka pintu pagar rumah selepas pulang dari rumah neneknya diserang dan dikejar dua ekor anjing yang berkeliaran di taman tersebut.
Ibu mangsa, Nor Fatiha Mokthar berkata, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan anaknya yang diserang anjing jatuh tersembam dan mengalami luka di seluruh badan termasuk kaki dan tangan.
"Suami saya terus keluar menghalau anjing itu dan nasib baik ada juga penduduk yang datang membantu.
"Kerana kecuaian orang lain Irfan yang menjadi mangsa dan terpaksa bermalam di Hospital Putra disebabkan luka yang teruk dan sakit dada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nor Fatiha berharap pihak berkuasa tempatan segera memantau dan mengambil tindakan menangkap anjing liar bagi mengelakkan insiden sama berulang.
"Anak saya masih menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman berkata, pihaknya akan segera mengambil tindakan untuk mengadakan operasi menangkap anjing liar.
"MPTJG sentiasa menjalankan Ops Johnny untuk menangkap anjing liar. Dalam tempoh sebulan kami telah menangkap lebih 120 ekor anjing dan akan melakukan operasi sama di taman perumahan itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!