Suami isteri gelandangan dapat rumah serta-merta

Zakaria (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan barang keperluan harian dan wang tunai kepada pasangan gelandangan selepas mereka berpindah ke rumah baharu di Flat Geharu, Taman Rinting, Pasir Gudang hari ini.
Zakaria (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan barang keperluan harian dan wang tunai kepada pasangan gelandangan selepas mereka berpindah ke rumah baharu di Flat Geharu, Taman Rinting, Pasir Gudang hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Nasib sepasang suami isteri yang hidup bergelandangan sejak sembilan bulan lalu di bawah Flat Geharu, Taman Rinting di sini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh.

Che Zakaria pada mulanya mahu menyampaikan sumbangan kepada pasangan itu yang merupakan antara 45 penerima bantuan dalam Majlis Permuafakatan Penduduk yang berlangsung di flat tersebut pada hari ini, namun terkejut melihat keadaan mereka.

Khaled Jeri, 51, dan isteri, Rahimi Zakaria, 65, tinggal di bawah flat bersebelahan tangga utama, mereka menggunakan papan dan almari lama sebagai kepungan yang menjadi seperti sebuah bilik tetapi tidak mempunyai pintu.

'Bilik' pasangan yang tidak mempunyai cahaya mata itu tidak memiliki tandas atau tempat memasak, kemudahan yang ada hanya dua tilam, almari dan sebuah basikal digunakan untuk mencari besi buruk untuk dijual.

Zakaria yang terharu dengan keadaan mereka terus mengarahkan kakitangan Pusat Khidmat DUN Permas memindahkan mereka ke sebuah rumah di flat tersebut dengan sewa RM400 dibayar ADUN tersebut.

"Saya amat terkejut dan tidak menyangka masih ada gelandangan yang tidak mempunyai rumah dan hidup seperti ini di Johor. Saya merasa lega kerana mereka berjaya dipindahkan pada hari ini juga.

"Mereka akan tinggal sementara di rumah di sini dalam tempoh dua bulan sebelum kita carikan rumah baharu di sekitar kawasan Bandar Seri Alam atau Johor Jaya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pasangan itu.

Artikel Berkaitan:

Pasangan gelandangan mengunakan papan serta almari sebagai kepungan dan menjadikannya sebagai tempat tinggal selama sembilan bulan di bawah Flat Geharu, Taman Rinting, Pasir Gudang.
Pasangan gelandangan mengunakan papan serta almari sebagai kepungan dan menjadikannya sebagai tempat tinggal selama sembilan bulan di bawah Flat Geharu, Taman Rinting, Pasir Gudang.

Sementara itu, Rahimi dan suaminya bersyukur kerana dipindahkan ke sebuah rumah baharu pada hari ini setelah hidup dalam kebimbangan dan keadaan tidak selesa di bawah flat berkenaan.

Tinggal di bawah flat itu katanya, mengundang pelbagai risiko termasuk daripada segi kebersihan kerana longkang berdekatan tersumbat, terlalu banyak nyamuk dan sampah yang dibuang merata-rata.

Menurutnya, mereka tidak mempunyai wang untuk menyewa bilik atau rumah kerana suaminya hanya bekerja mencari besi buruk dengan menggunakan basikal selain mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

"Dengan duit bantuan JKM dan kerja mencari besi buruk kami menampung makan minum, kami terpaksa berjimat dan makan nasi berlauk telur hampir setiap hari. Saya tidak mampu bekerja kerana menghidap sakit saraf dan suami pula menghidap batu karang dan gout," katanya.

Segala urusan harian katanya, seperti mandi dan mengambil air mereka akan pergi ke surau berdekatan manakala makan minum selain dibeli, kadang-kala disumbangkan penduduk setempat yang bermurah hati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!