16 pengendali bot penambang terima notis amaran
TUMPAT - Seramai 16 pengendali bot penambang yang membawa penumpang dari Jeti Kuala Besar, Kota Bharu dan Jeti Kok Majid ke Pulau Suri di sini, menerima notis amaran kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan Jabatan Laut Malaysia.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, notis berkenaan dikeluarkan ketika operasi khas Ops Penambang yang dijalankan bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan pengendali bot berkenaan termasuk membawa lebih penumpang, tiada lesen dan tidak menyediakan jaket keselamatan yang mencukupi.
“Justeru, kesemua pengendali terlibat diarahkan supaya menyediakan kelengkapan sepenuhnya dan hadir melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPP) Tumpat dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.
“Bagi yang gagal mematuhi peraturan, mereka akan dikenakan notis. Sekiranya masih gagal melengkapkan keperluan mereka boleh dikenakan tindakan kompaun mengikut Akta Perkapalan Saudagar (Akta 474)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud dan Ketua Pejabat Jabatan Laut Tok Bali, R Azmi Ab Rani.
Abdullah berkata, pemantauan akan dijalankan setiap minggu bagi memastikan pengendali bot sentiasa mematuhi peraturan supaya tahap keselamatan penumpang lebih terjamin berikutan Pulau Suri semakin menjadi tumpuan pelancong setelah wujudnya pasar terapung di situ.
Beliau berkata, dianggarkan 4,000 penumpang berkunjung ke Pasar Terapung Pulau Suri 1 dan Pulau Suri 2 pada setiap hujung minggu.
"Kita juga mengingatkan pengusaha bot supaya memilih pengendali bot yang berpengalaman kerana jika tersilap langkah, apa sahaja boleh berlaku.
“Pada masa sama, kita juga akan menjalankan ujian air kencing terhadap pengendali bot bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!