Mancini sedia tukar strategi

MANCINI
MANCINI
A
A
A

PENGENDALI Itali, Roberto Mancini berjanji akan melakukan perubahan dalam skuad kendaliannya menjelang pertemuan menentang Belanda pada saingan Liga Negara-Negara Eropah selepas terikat 1-1 dengan Bosnia and Herzegovina di Florenze awal pagi tadi.

"Keputusan seri itu tidak mengubah perancangan kami. Perancangan permainan kami tidak akan berubah ketika berdepan Belanda tetapi kami akan mengubah pilihan pemain.

"(Giorgio) Chiellini tidak beraksi kerana kami khuatir dia akan cedera. Ia amat mengecewakan apabila tidak menang. Keletihan menjadi punca tetapi pemain-pemain saya sudah bermain dengan baik," kata Mancini.

Pada aksi di Stadium Artemio Franchi itu, Itali yang turun dengan rekod cemerlang memenangi kesemua 11 perlawanan terakhir ketinggalan apabila penyerang AS Roma, Edin Dzeko meledak gol pembukaan Bosnia and Herzegovina.

Pemain tengah Inter Milan, Stefano Sensi berjaya menyamakan kedudukan buat Itali, sekali gus melegakan Gli Azzurri untuk membawa pulang satu mata selepas dilihat bergelut untuk memecahkan keampuhan pertahanan Bosnia and Herzegovina.

"Saya gembira kerana dapat menjaringkan gol tetapi agak kecewa dengan keputusan ini. Amat sukar untuk mencari ruang. Kami perlu lebih pantas ketika mengejar bola," ujar Sensi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!