Messi mangsa keadaan
KLAUSA pelepasan yang mencecah 700 juta euro (RM3.4 bilion) dikatakan menjadi antara faktor utama bintang Barcelona, Lionel Messi membuat keputusan untuk terus kekal semusim lagi di Camp Nou.
Keputusan Messi itu sekali gus menamatkan spekulasi tentang berita masa depan Messi bersama kelab Catalan tersebut yang menggemparkan arena bola sepak seluruh dunia sejak minggu lalu.
Dalam satu temubual eksklusif dengan portal terkemuka dari Sepanyol, Goal Spain malam kelmarin, kapten Argentina itu secara terbuka menyalahkan Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu yang dianggapnya telah memungkiri janji dalam urusan perpindahannya.
"Pada mulanya, saya berasa amat yakin saya dapat meninggalkan pasukan ini. Presiden selalu berkata bahawa saya bebas memilih untuk meninggalkan kelab ini atau tidak pada penghujung musim.
"Kini mereka bertegas bahawa saya tidak memaklumkannya pada 10 Jun lalu. Tetapi pada 10 Jun lalu, kami masih bersaing dalam La Liga ketika pandemik Covid-19 masih ada dan wabak itu telah mengubah keseluruhan musim.
"Itulah sebabnya saya akan terus berada bersama kelab ini. Kini saya terpaksa meneruskannya kerana presiden memberitahu saya bahawa satu-satunya cara untuk meninggalkan kelab ini adalah dengan membayar klausa 700 juta euro dan ia sesuatu yang mustahil," katanya.
Minggu lalu, Messi menggemparkan Camp Nou apabila menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan Barcelona selepas pengendali baharu, Ronald Koeman memberitahu 'hak istimewanya di Barcelona sudah tamat'.
Disebabkan itu, Messi nekad meninggalkan Barcelona dengan mengaktifkan klausa pelepasan secara percuma biarpun kontraknya hanya akan berakhir pada Jun tahun depan.
Bagaimanapun, menafikan situasi itu dengan menegaskan bahawa mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Messi perlu berbincang dengan Barcelona atau membayar yuran pelepasan bernilai 3.4 bilion yang terkandung dalam kontraknya.
"Ia sesuatu yang mustahil, cuma satu lagi cara dengan membawa kes ini ke mahkamah. Tetapi saya tidak akan membawa Barcelona ke mahkamah kerana saya sayang kelab ini yang memberikan segala-galanya sejak saya tiba di sini," ujar Messi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!