Havertz teruja perkuat Chelsea
KAI HAVERTZ menganggap impiannya menjadi kenyataan selepas secara rasmi diperkenalkan sebagai bintang baharu Chelsea dengan rekod perpindahan termahal kelab Inggeris itu bernilai 72 juta pound (RM397 juta).
Havertz, 21, meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan Jerman semalam untuk melengkapkan perpindahan ke Stamford Bridge dengan menandatangani kontrak selama lima tahun, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.
"Saya amat gembira dan berbangga untuk berada di sini. Bagi saya, ia bagaikan impian menjadi kenyataan untuk beraksi bersama kelab besar seperti Chelsea.
"Saya sudah tidak sabar untuk berjumpa semua pemain dan barisan jurulatih. Memang benar, saya amat gembira untuk berada di sini," katanya dalam laman web rasmi Chelsea.
Havertz merupakan pemain berprofil tinggi terbaharu menyertai Chelsea selepas Hakim Ziyech, Timo Werner, Ben Chilwell dan Thiago Silva yang menyaksikan The Blues kini telah membelanjakan keseluruhan 200 juta pound (RM1.1 bilion).
Perpindahan Havertz dari Bayern Leverkusen menyaksikan dia mengatasi rekod Werner sebagai pemain termahal Jerman yang dibeli Chelsea pada harga 53 juta euro (RM260.2 juta) Jun lalu.
Sebagai rekod, Havertz berjaya menyumbat 46 gol dalam 150 perlawanan kompetitif bersama Leverkusen termasuk 18 gol musim lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!