‘Kami sentiasa mendoakan Luqman’

Luqman mencium tangan Shamsudin sambil diperhatikan Hasmah sebelum berlepas ke Belgium di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Ogos lalu.
Luqman mencium tangan Shamsudin sambil diperhatikan Hasmah sebelum berlepas ke Belgium di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Ogos lalu.
A
A
A

“SELANG dua hari, dia akan hubungi kami sekeluarga menerusi video call (panggilan video).”

Itu kata Hasmah Che Soh, 56, ibu kepada penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin ketika menceritakan mengenai perkembangan terkini anak bongsunya itu yang hampir sebulan berkelana ke Belgium.

Hasmah berkata, Luqman yang kini menetap bersama keluarga angkatnya yang dikenali sebagai Arnout tidak pernah ‘terlepas’ menghubunginya sejak meninggalkan tanah air pada 13 Ogos lalu.

“Sejak ke Belgium, sudah banyak kali dia menghubungi saya. Selang dua hari, dia akan buat video call. Dia tak kata rindu, tapi tetap tanya khabar kita, tanya makan apa dan macam-macam lagi.

“Seperti biasa, saya turut berpesan kepadanya supaya sentiasa menjaga diri dan tidak lupa mengerjakan kewajipannya sebagai umat Islam ketika berada di Belgium. Paling penting, jangan tinggal solat.

“Saya juga sering berpesan kepadanya walau sibuk macam mana sekalipun, jangan lupakan waktu makan... jangan biarkan perut kosong. Tapi seperti kata Luqman, soal makanan tak jadi masalah kerana ada kedai makanan Muslim di sana,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad semalam.

Hasmah memberitahu, menerusi perbualannya dengan Luqman sebelum ini, beliau sedar anak bongsunya yang berusia 18 tahun itu sudah mula menyesuaikan diri dengan gaya hidup baharu di Belgium.“Walaupun Luqman tinggal bersama keluarga angkat yang bukan beragama Islam tetapi setiap hari Jumaat, dia akan dihantar ke masjid berhampiran rumah keluarga angkatnya itu untuk menunaikan solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Luqman sudah mula menjalani latihan bersama skuad utama KV Kortrijk di Belgium.
Luqman sudah mula menjalani latihan bersama skuad utama KV Kortrijk di Belgium.

“Luqman ada memberitahu dia tinggal berempat bersama ayah angkat serta dua anak ayah angkatnya itu. Dia juga sudah membeli sebuah basikal untuk berulang alik ke tempat latihan yang tidak jauh dari tempat tinggalnya,” jelas Hasmah.

Bapa Luqman, Shamsudin Mahmood, 62, pula mengakui gembira mendengar perkhabaran anaknya itu sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan dunia baharunya di Belgium.

Namun, jauh di lubuk hatinya, Shamsudin berharap Luqman terus cekal menghadapi segala rintangan mendatang dalam memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemain baharu KV Kortrijk yang dimiliki ahli perniagaan terkenal Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.

“Mungkin masih ada yang tidak tahu, Luqman merupakan anak bongsu daripada enam beradik, dia ada dua orang abang dan tiga orang kakak. Berbanding dua abangnya, hanya Luqman yang serius melibatkan diri dalam bola sepak secara profesional.

“Sebagai kedua ibu bapanya, kami sentiasa mendoakan keselamatan, kesejahteraan serta kejayaan Luqman dalam sukan bola sepak yang begitu diminatinya sejak kecil lagi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!