Hasliza cari datuk...
KUALA TERENGGANU - Seorang bakal pengantin, Hasliza Mustapa, 25, sedang mencari datuknya untuk menjadi wali pernikahannya yang dijadualkan pada 30 Mac ini.
Hasliza yang bekerja sebagai guru ganti di sebuah sekolah di sini, berkata, dia amat memerlukan datuknya, Md Yunus Yattudin untuk menjadi wali kedua memandangkan bapanya, Mustapa Md Yunus meninggal dunia sejak 11 tahun lalu.
Anak ke sembilan daripada 11 beradik itu berkata, arwah bapanya memang tidak pernah membawa keluarga berjumpa dengan datuk selama ini yang sekali gus menyukarkan usaha mengesan ahli keluarga sebelah bapanya.
"Kami bukan sahaja tidak pernah melihat wajah datuk malah langsung tidak mempunyai gambar datuk serta tidak mengenali saudara mara sebelah arwah yang lain.
"Setahu saya, arwah cuma ada seorang adik lelaki tiri, tetapi kami tidak tahu di mana dia sekarang," katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, di sini, hari ini.
Dia yang bakal melangsungkan perkahwinan di Kampung Batangan, Marang, berkata, ibunya, Ghamelah Puteh, 61, ada memberitahu yang arwah terpisah dengan datuk sejak kecil lagi.
"Arwah ayah dijaga oleh nenek kerana terpisah dengan datuk yang ketika itu berkhidmat sebagai anggota polis.
"Saya dimaklumkan keluarga arwah ayah berasal dari Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu, tetapi tidak tahu di mana alamat tetap mereka," katanya.
Individu atau sesiapa sahaja yang mengetahui atau mengenali datuk atau ahli keluarga arwah bapa Hasliza, boleh menghubungi keluarganya di talian 014-5051944.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!