KPI gerakkan ekonomi pasca-Covid19
PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan bagi memastikan program-program menggerakkan ekonomi pasca koronavirus (Covid-19) dilaksanakan mengikut perancangan.
Beliau berkata, jika gagal, mereka perlu memberi sebab dan alasan munasabah untuk dipertimbangkan jawatankuasa yang dianggotai beliau sendiri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman serta beberapa ahli yang dilantik.
Perkara itu, katanya, diputuskan selepas perbincangan dengan KPPA susulan banyak program atau projek pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan.
"Jadi kalau kita masih bergerak mengikut cara kerja lama, seperti yang dikatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidsin Yassin, kita khuatir kalau program yang ada tidak dapat dilaksanakan seperti dijadualkan.
"Untuk itu kita hendaklah bergerak dengan pantas dan berubah daripada cara kerja yang lama," katanya kepada pemberita semasa melancarkan Program Kelestarian Malaysiaku Indah anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Zuki berkata walaupun penjawat awam tidak terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Covid-19, tetapi mereka tanpa mengira pangkat perlu bersama-sama menggerakkan ekonomi bagi membantu golongan yang terjejas.
"Kalau kita masih lagi bergelut dan terikat, kita gunakan alasan tatacara kerja kita yang lama, maka kita khuatir kalau tempoh yang diperlukan nak gerakkan ekonomi akan lebih panjang kerana kita dah tertangguh berapa lama," katanya.
Ditanya mengenai peningkatan kadar pengangguran, katanya banyak inisiatif akan dilaksanakan bagi memastikan mereka yang terjejas akibat Covid-19 seperti hilang pekerjaan dapat dibantu.
"Kerajaan memberikan perhatian tetapi saya tidak boleh maklumkan lagi apa tindakan kita. Kita dalam perancangan yang akan diumumkan nanti bila sampai masanya... dijangkakan dalam masa terdekat kita umumkan," katanya.
Mengenai Program Kelestarian Malaysiaku Indah, Mohd Zuki yang juga Penasihat Puspanita berkata antara komponen utama program itu ialah aktiviti penanaman pokok selaras dengan hasrat kerajaan untuk membentuk ekosistem hijau yang lebih lestari.
Mohd Zuki turut menyertai Pokok Fun Ride bersama-sama KPPA, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, ketua-ketua setiausaha kementerian termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Seramai 70 peserta terlibat dalam acara berbasikal sejauh 13 kilometer itu yang dilepaskan oleh Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Norizam Che Mohd Nor. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!