Pengundi yakin kemampuan Ramli laksana tanggungjawab
LIPIS - Kemenangan calon BN, Ramli Mohd Nor sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands adalah satu bukti perpaduan kukuh antara BN-Pas.
Tinjauan Sinar Harian hari ini di Sungai Koyan menyaksikan wajah kepuasan penduduk yang telah membuat keputusan pada PRK terbabit.
Bagi bekas tentera, Khamis Maasai, 72, dari Felda Sungai Koyan 3, pada mulanya dia mengakui peluang 50:50 dimiliki oleh BN berikutan kehadiran pemimpin tertinggi PH yang turun berkempen di PRK itu.
"Namun dengan melihat modal kempen yang dibawa oleh mereka selain pelbagai isu yang timbul membuatkan saya mula percaya BN boleh menang kali ini.
"Saya tiada masalah apabila beliau (Ramli) menang dan mewakili kami di kawasan ini. Bukan 100 peratus tapi 101 peratus kepercayaan diberikan kepadanya untuk memperjuangkan nasib penduduk di sini nanti," katanya lagi.
Ditanya faktor yang mempengaruhi jumlah undi, Khamis menyifatkan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengungkit nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menimbulkan rasa muak pengundi sepertinya.
"Malah sampai ungkit nama Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), apa motifnya. Sepatutnya beliau (Tun Mahathir) datang secara profesional dan memberitahu apa yang ingin dilakukan untuk membantu rakyat yang semakin tertekan dengan pelbagai masalah seperti peneroka seperti kami," ujarnya.
Seorang ahli Pas, Abdul Razak Mohd Zin, 74, bersyukur dengan kemenangan Ramli yang disifatkan sangat sesuai untuk mewakili penduduk di parlimen tersebut.
Menurutnya, dengan pengalaman dan kelayakan dimiliki Ramli dilihat satu nilai tambah yang boleh dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjaga dan memperjuangkan nasib pengundi di kawasan itu.
"Beliau (Ramli) bukan calang-calang orang. Memang orang yang layak dan selayaknya beliau menjadi calon dan dipilih mewakili Cameron Highlands.
"Saya percaya dengan keputusan dan tindakan pucuk pimpinan parti untuk memberikan sokongan kepada beliau (Ramli), ada sebabnya," ujarnya.
Sementara itu bagi Sukiman Ahmad Karim, 64, kejayaan Ramli sudah dijangka berikutan latar belakangnya selain kerjasama BN-Pas kali ini.
"Saya mengalu-alukan kejayaan beliau (Ramli). Memang dah jangka BN menang apatah lagi ada kerjasama dengan Pas.
"Jadi peluang memang tinggi dan kawasan di sini pun antara kubu kuat Pas," katanya sambil mengharapkan Ahli Parlimen baharu itu dapat menjalankan tugas sebaik mungkin untuk membantu pengundi di kawasan berkenaan.
Dalam keputusan yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi menyaksikan calon BN, bekas pegawai kanan polis dari suku kaum Semai itu meraih majoriti 3,238 undi selepas mencatatkan 12,038 jumlah undian menewaskan tiga pencabarnya.
Calon PH dari DAP, M. Manogaran masih berputih mata dengan kekalahan hatrik di parlimen itu selepas meraih 8,800 undi dan dua calon Bebas, Sallehuddin Ab Talib (314) dan Wong Seng Yee (276).
Kejayaan Ramli yang juga mencipta sejarah sebagai Orang Asli pertama menjadi Ahli Parlimen itu berganda selepas mencatatkan jumlah majoriti lebih besar, 3,238 undi berbanding 597 pada PRU14 lalu.
PRK tersebut diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam PRU14 lalu pada 30 November lalu apabila dikesan wujud amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!