DUN Paroi mahu lahirkan ramai bilal muda
SEREMBAN - Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (PPBHNS) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi menganjurkan program Bengkel Bilal Muda di Masjid Bandar Baru Senawang di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, seramai 80 remaja dan belia menyertai bengkel itu.
Menurutnya, peserta yang berusia antara 11 hingga 25 tahun diberi bimbingan oleh Pegawai Agama Masjid Negeri, Ahmad Shahir Mohd Shah dan Muazzin Muda Masjid Negeri, Saiful Hamzah.
"Idea untuk mengadakan program ini tercetus selepas melihat ada keperluan dalam masyarakat untuk melahirkan bilal atau muazzin selain minat yang ditunjukkan oleh golongan muda.
"Jika sebelum kita didedahkan dengan program Imam Muda tetapi saya rasa ada keperluan untuk melahirkan bilal muda. Kami tidak menyangka mendapat sambutan menggalakkan apabila 80 mengambil bahagian berbanding sasaran 50 peserta.
"Mereka diberikan bimbingan dari segi sejarah azan ketika zaman Rasulullah SAW selain kaedah latihan sebutan azan yang betul, kawalan suara dan lagu," katanya selepas merasmikan program Bengkel Bilal Muda 2020 di Masjid Bandar Baru Senawang dekat sini hari ini.
Mohamad Taufek yang merupakan Exco Belia dan Sukan negeri berkata, melalui bimbingan, latihan serta pengiktirafan sijil yang diterima ini membolehkan peserta diberi peluang melaungkan azan di masjid.
"Saya berharap program ini dapat diperluaskan di seluruh negeri ini supaya kita dapat melahirkan muazzin yang berilmu dan hebat serta mampu memberikan khidmat demi kepentingan syiar Islam," katanya.
Sementara itu, juara pertandingan, Muhamad Firdaus Muhd Rapee, 22, dari Taman Satria Senawang berkata, dia mengakui banyak ilmu diterimanya dalam bengkel berkenaan walaupun diadakan dalam tempoh singkat.
Katanya, program itu amat baik dan membantunya banyak perkara terutama dalam meningkatkan lagi kemahiran melaungkan azan.
"Walaupun bukan bercita-cita menjadi seorang muazzin, tetapi tidak rugi menuntut ilmu dan bengkel ini membantu saya untuk melaungkan azan jika diperlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!