'Kuca suro' pupuk perpaduan

A
A
A

Dari sudut bahasa, kata asyura dalam bahasa Arab bermakna 10, manakala dari segi istilah, ia merujuk kepada tarikh 10 hari bulan khususnya 10 Muharam. Kebiasaannya, masyarakat Melayu akan bergotong-royong memasak bubur asyura sempena 10 Muharam.

Proses untuk menyiapkan bubur asyura mengambil masa yang agak lama dan memerlukan kerjasama yang padu antara semua yang terlibat. Ketika itulah terjadinya komunikasi rapat yang mengukuhkan lagi persefahaman dan mengeratkan kemesraan.

Tekstur bubur asyura di sebelah utara Semenanjung agak kental. Ia merupakan campuran beras, tepung, gula, kekacang, pisang, jagung, ubi-ubian seperti keladi dan keledek. Rasanya sangat manis. Ramuan tersebut dimasak agak lama seperti memasak dodol.

Bubur asyura di sebelah selatan Semenanjung pula agak cair dan tidak manis sama seperti bubur lambuk, cuma ia mengandungi pelbagai jenis kacang. Paling menarik bagi saya, sudah pasti bubur asyura di pantai timur Semenanjung yang teksturnya sangat kental dan perlu dipotong untuk di-hidangkan. Bahan yang digunakan agak sama dengan bubur asyura utara tetapi dimasak bersama tumisan bawang, halia, lengkuas, daging, ayam dan rempah khas.

Di Kelantan, acara memasak bubur asyura dikenali sebagai ‘kuca suro’. Di sini, ia bukan sahaja digemari orang Melayu, malah turut digemari masyarakat Cina kerana mereka sering menerima bubur tersebut daripada sahabat Melayu mereka. Ia telah menjadi kebiasaan sejak kecil lagi dan sudah sebati dalam kehidupan mereka.

Lebih menarik lagi, masyarakat Cina di Kelantan turut meraikan acara kuca suro dengan bersama-sama bergotong-royong memasak bubur asyura sebagaimana yang dilakukan oleh komuniti Cina di Kampung Joh, Ma-chang. Acara tersebut telah mendapat liputan media pada tahun 2015.

Penganjurnya, Tan Chu Lam berkata, mereka melakukannya sendiri bagi mengeratkan hubungan sesama kira-kira 70 buah keluarga Cina di kawasan berkenaan. Ia tidak menjadi masalah kerana mereka mempunyai pengalaman memasak bersama-sama masyarakat Melayu di kampung tersebut pada tahun sebelumnya.

Penglibatan pelbagai kaum dalam acara itu juga telah menyebabkan terdapat sedikit pertukaran dari segi ramuan iaitu daging lembu diganti dengan daging ayam jika mereka yang terlibat terdiri daripada penganut agama Hindu atau Buddha aliran Kwan Yin. Ia menunjukkan sensitiviti sentiasa dijaga demi menghormati dan meraikan penganut agama yang berlainan.

Artikel Berkaitan:

Kini, acara kuca suro telah menjadi acara perpaduan – satu budaya yang boleh mengeratkan perpaduan antara masyarakat di Kelantan.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md Anizam Abd Rahman sering menggalakkan dan menyokong acara kuca suro.

Baru-baru ini, pihak Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) turut meraikan acara kuca suro dengan memasak tujuh buah kawah bubur asyura di Min House Camp, Kubang Kerian. Pemilihan pusat pelancongan Min House Camp kerana tempatnya yang luas, selesa dan bersebelahan dengan sungai. Kedudukannya di dalam ‘rok’ atau belukar mengembalikan suasana kampung suatu masa dahulu.

Semoga acara kuca suro atau mana-mana aktiviti silang budaya dapat diperbanyakkan dengan melibatkan kaum lain. Mungkin selepas ini, masyarakat Melayu pula diajak untuk bersama-sama membuat kuih bulan yang menjadi kegemaran masyarakat Cina.

Semoga keharmonian dan perpaduan antara kaum yang dicapai selama ini akan berterusan serta bertambah kukuh agar keamanan turut dirasai generasi pada masa akan datang.

Proses untuk menyiapkan bubur asyura mengambil masa yang agak lama dan memerlukan kerjasama yang padu antara semua yang terlibat.”

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!