Malaysia Prihatin aspirasi Rukun Negara

A
A
A

Tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin adalah selaras dan memenuhi aspirasi kerajaan terutama apabila seluruh rakyat Malaysia terbukti bersama-sama memerangi koronavirus (Covid-19).

Perkataan ‘prihatin’ melambangkan kesungguhan dan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia. Bantuan prihatin melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah dinikmati oleh sebahagian besar masyarakat yang terjejas dan terkesan dengan Covid-19.

Kita bersyukur dan berterima kasih kepada pemerintah yang memberikan keutamaan kepada aspek kesihatan dan keselamatan rakyat berbanding hal ehwal lain. Rakyat Malaysia berganding bahu bagi memastikan segala arahan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi. Ramai sukarelawan tampil memberi bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Roh dan semangat Malaysia Prihatin sewajarnya diterjemahkan. Bukan sahaja dalam usaha menamatkan terus wabak Covid-19 tetapi juga untuk memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik serta selesa.

Maka, Malaysia Prihatin sebenarnya tanda dan kayu ukur bagi mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang termaktub dalam Rukun Negara. Sudah tentu semua warga Malaysia perlu melakukannya bersama-sama bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin.

Malaysia Prihatin turut memenuhi aspirasi dan nilai yang digariskan dalam Rukun Negara. Rakyat Malaysia mengetahui pentingnya bersatu padu dan hidup dengan aman damai serta dapat menghindari sifat curiga antara satu sama lain terutama ketika dilanda bencana.

Perpaduan kaum pula adalah matlamat penting yang ingin dicapai oleh semua negara di dunia termasuklah Malaysia. Tanpa perpaduan, sesebuah negara akan menjadi lemah, sukar untuk dibangunkan dan mudah diancam serta diceroboh oleh anasir luar atau dalam negara itu sendiri.

Oleh itu, Rukun Negara menjadi satu titik permulaan ke arah pencapaian perpaduan dalam kalangan semua etnik di Malaysia. Apabila rakyat Malaysia menghayati maksud Rukun Negara, maka ia akan memudahkan proses pentadbiran negara.

Artikel Berkaitan:

Konsep

Matlamat Rukun Negara dapat dicapai dengan mudah tanpa prejudis oleh mana-mana pihak. Mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

Melalui perpaduan akan dapat membantu Malaysia mempertingkatkan lagi pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara yang bersifat liberal dan demokratik.

Namun, beberapa insiden dan rentetan peristiwa kebelakangan ini memberi gambaran bahawa prinsip Rukun Negara seolah-olah sudah dilupakan serta tidak lagi relevan dalam konteks kehidupan masyarakat yang prihatin.

Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, masih wujud isu bendera terbalik, menukar Jata Negara dan sengaja mengibarkan bendera bukan Jalur Gemilang yang bertentangan dengan undang-undang negara. Tindakan seperti mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera masih menjadi agenda pihak tertentu.

Malaysia telah membuktikan walaupun wujud perbezaan, namun masih dapat mengamalkan budaya dan norma hidup bersama antara kaum utama. Janganlah kita menggadai keamanan yang dikecapi hanya kerana perasaan iri hati dan ketidakpuasan yang tidak dikongsi majoriti rakyat.

Jangan kita leka dengan iklim kemakmuran dan keamanan Malaysia kerana ia menjadi sasaran pihak luar yang mula mencabar kedaulatan dan persempadanan negara. Keprihatinan rakyat dan kerajaan menjadi resipi berdekad lamanya rakyat daripada satu generasi ke satu generasi berbilang kaum untuk hidup bersama dengan aman dan harmoni.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!